Friday, January 3, 2014

MAJLIS PENENTUAN ARAH KIBLAT MASJID AL-UMM.

Bandar Baru Bangi , 2 Jan 2014 :
"Sesiapa yang membina sebuah masjid di dunia walaupun dengan (sumbangan) segenggam pasir, nescaya Allah akan bina untuknya mahligai di Akhirat."

Dato’ Dr. Haron Din membacakan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh  Al-Bukhari dan Muslim sebelum membaca doa dalam majlis Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm. Dalam majlis yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan RM1.5 juta yang diusahakannya. Beliau merupakan penasihat kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm.
Masjid Al-Umm bakal menjadi masjid kedua di Bandar Baru Bangi selepas Masjid Al-Hasanah. Kos pembinaan masjid dua tingkat ini dianggarkan bernilai RM12.5 juta. Majlis pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Al-Umm telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor pada awal tahun lepas (6 Januari 2013).
Y.A.B. Dato’ Menteri Besar berjanji akan memberi bantuan dana berdasarkan ‘ringgit ke ringgit’. Sehingga kini Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm yang dipengerusikan oleh Dr. Shafie Abu Bakar, mantan ADUN Bangi telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM2.5 juta.
Menurut Dr. Shafie Abu Bakar,”Kita masih memerlukan RM2 juta lagi  untuk jumlah RM6 juta sebelum mengemukakan permohonan kepada kerajaan  Selangor sebagaimana yang dijanjikan oleh YAB Menteri Besar pada tahun lepas.”


ADUN Bangi, Ustaz Shafie Ngah yang turut hadir menyokong penuh pembinaan Masjid Al-Umm yang bakal menjadi identitik kepada Bangi.
Penentuan Arah Kiblat dilakukan oleh Jurukur dari pihak Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Selangor.



No comments: